LIKU LIKU KEHIDUPANKU..
“Atuk........tolonggggg...lintahhh”.”pergi balik”,atuk memarahi aku.”Buat malu je...menjerit-jerit”.Atuk terus membebel-bebel memarahi aku.”Kalau tak nak kena gigit lintah,pacat,berlumpur-lumpur macam ni..belajar rajin-rajin”.Beginilah keadaan aku bila turun ke sawah mengikut atuk dan opah,terjerit-jerit,terlompat-lompat kerana gelikan pacat dan lintah.
Sejak dilahirkan aku dibesarkan oleh atuk dan opah.Diberi sepenuh kasih dan sayang.Walaupun hidup susah tapi atuk dan opah seperti tidak mahu aku melalui kesusahan itu.Setiap pagi turun ke sawah dan bila tidak ke sawah mereka pergi menoreh getah.Adakala pergi memancing ikan Baung di hulu sungai tatkala selepas hujan berhenti.Tak sabar aku menunggu atuk dan opah di rumah,terasa-rasa keenakan isi ikan baung itu.Nak di masak apa lah ikan itu nanti.Hampir-hampir meleleh air liur aku bila mengenangkan kelazatan masakan ikan sungai.
Atuk sentiasa memberi galakan pada aku supaya rajin belajar.Beliau sanggup menghantar dan menjemput aku dari sekolah.Dengan mengayuh basikal tuanya,manakala aku duduk di belakang sambil memeluk pinggangnya.Sehinggalah aku boleh menaiki basikal sendiri,atuk telah menghadiahi aku sebuah basikal kerana mendapat tempat pertama didalam peperiksaan.
Atuklah guru pertama aku.Diajar mengenal ABC dan mengira.Setiap malam atuk mengajar aku membaca dan mengaji Al Quran.Manakala opah aku pula sentiasa mengambil berat tentang makan dan pakai aku.Begitulah kedua-duanya mencurahkan kasih sayang mereka kepada aku.Sehinggakan emak dan abah bila balik ke kampung selalu mengingatkan opah dan atuk supaya tidak terlalu memanjakan aku.Tapi atuk menjawab,”Taulah aku mendidik si Ros ni...jangan risau”
Bila musim durian aku mengikut atuk dan opah ke dusun durian yang terletak agak jauh dari rumah.Berminggu-minggu kami di sana kerana menunggu buah durian.Buah-buah durian akan dijual.Walau tinggal di dalam dusun,tiada lampu elektrik hanya lampu minyak tanah sahaja,tinggal dalam pondok kecil yang mampu memuatkan kami tiga bercucu sahaja.Namun belajar tetap belajar.Atuk tidak pernah lalai tentang itu.(menurut teori Maslow,bahawa manusia memerlukan kasih sayang)
1
Aku tetap di hantar ke sekolah,walaupun jarak dari dusun ke sekolah agak jauh.Beliau sanggup mendukung aku menyeberangi sungai.”Tak payah buka kasut sekolah,nanti basah”,katanya.Kawan-kawan yang ada bersama mengejek-ejek aku.Mereka mengata aku budak manja.Selepas itu dengan menaiki basikal tuanya aku di hantar ke sekolah.
Walau aku seperti begitu dimanjakan namun aku tetap dilatih membantu opah di rumah.mengangkut air dari perigi,menyusun kayu api,menyapu sampah dan sebagainya.Satu perkara aku tak tahan iaitu memasak menggunakan dapur kayu.macam rasa nak tersembul biji mata meniup api supaya marak.Kadang-kadang aku mengikut opah ke kebun getah untuk mencari kayu api atau pun turun ke sawah.
Aku paling suka turun ke sawah waktu musim menuai padi.Seronoknya pada musim menuai kerana sawah padi kering,tiada pacat dan lintah memanjat kaki.Tapi atuk ni tetap menyuruh aku membawa buku.”Kalau tak ada apa-apa nak di buat nanti bolehlah baca buku”,katanya sambil tersengih-sengih kerana melihat aku yang telah memuncungkan mulut.Opah aku apa lagi terus mengusik aku “Macam boleh di ikat muncung tu”,katanya.Suasana rumah menjadi bising dengan usikan-usikan itu.Betapa bahagianya atuk dan opah ketika itu,walaupun hidup berteman cucunya yang seorang ini.
Semasa aku darjah tiga,aku mula tidak sihat.Hampir setiap hari aku demam,muntah-muntah,sakit dalam mulut.Bila sakit aku tidak dapat ke sekolah.Melonjak-lonjak dalam hati hendak ke sekolah.Namun apakan daya,kesihatan aku tidak mengizinkan.Atuk dan opah berusaha macam-macam untuk aku sembuh.Namun tanda-tanda untuk sembuh tidak nampak.Emak dan abah serta adik-adik di panggil.Emak tak berhenti-henti menangis melihatkan keadaan aku.Akhirnya aku disahkan olah doktor, aku menghidap sakit barah gusi.
Pelbagai rawatan aku lalui.Setiap kali muntah keluar berwarna hijau pekat dan bau yang memualkan.Oleh kerana kasihan melihat aku sakit, atuk telah membuat buaian dengan harapan dapat melegakan sakit ku ini.Atuk juga berusaha cara rawatan tradisional.Hari-hari sehelai daun remega dilayurkan di atas api lalu di tekap di bahagian yang sakit.Ubat dari hospital juga di makan.Begitu bersusah payah,bersengkang mata atuk dan opah menjaga aku sewaktu aku sakit.
2
Segala aktiviti aku terbatas.Aku tidak dapat pergi ke sekolah,tidak boleh ke sekolah agama,tidak dapat ke perpustakaan desa,tidak dapat bermain dengan kawan-kawan.Oh! sedihnya rasa hati ku.Pasti aku tertinggal banyak pelajaran di sekolah.Namun atuk dan opah ku ini sentiasa memberi kata-kata semangat agar aku bersabar dengan sakitku ini.Walau tak ke sekolah,tapi atukku ini sentiasa membacakan buku-buku cerita kepada aku.Beliau akan mengaji Al Quran berhampiran tempat pembaringanku.
Bila tibanya Syawal,sayunya rasa hati.Walaupun aku sakit,terbaring sahaja,tidak boleh banyak bergerak namun atuk dan opah tetap menyediakan sehelai baju kurung dan kasut baru untukku.Baju kurung dan kasut baru tidak dapat ku pakai,aku hanya meletakkan di sebelah bantalku.Dari sebalik tingkap rumahku,terlihat kawan-kawan pergi beraya dari rumah ke rumah.Kelihatan mereka sungguh gembira dengan memakai baju dan kasut baru.Mereka juga tidak lupa datang menziarahi aku.Rupa-rupanya kehadiran kawan-kawanku ini dapat meringankan sedikit rasa sakitku ini.
Rindunya hati untuk ke sekolah.Tertanya-tanya dalam benakku apalah yang cikgu ajar hari ini.Aku suka Cikgu B mengajar.Beliau mengajar Bahasa Melayu dan Matematik.Beliau seorang guru yang sabar mendidik aku dan kawan-kawan.Aku juga rindukan Cikgu N,beliau mengajar Bahasa Inggeris.Suaranya yang lantang terngiang-ngiang di telinga aku.Melihatkan kesungguhan guru-guruku ini mengajar tertanam satu rasa yang sukar diluahkan pada masa itu.
Aku bersekolah di Sekolah Kebangsaan Perempuan PR. Hubungan aku dengan kawan-kawan sangat rapat.Rindunya hati akan kawan-kawanku ini.Bilalah dapat pergi ke sekolah.Aku rindu untuk belajar dan bermain dengan kawan-kawan.Aku juga teringat makanan yang dijual di kantin.Betapa enaknya kuih cucur udang yang di goreng bentuk leper dan garing.Begitu juga sengkuang yang di potong bulat dan diletak sos cili di atasnya.Ais krim Malaysia,walaupun hanya air sirap yang di masukkan di dalam plastik panjang,tapi sungguh enak bagiku.Aku akan mencari tiang,lalu menumbuk-numbuk ais krim itu agar cepat hancur.Selepas itu ais krim itu aku hisap lagi sehingga habis.
3
Begitulah aku membilang hari untuk ke sekolah.Badan aku semakin susut,rambut hampir gugur semua.Aku tidak boleh banyak bergerak.Gusi sentiasa berdenyut-denyut.Sekali-sekala aku akan muntah hijau dan mengeluarkan bau yang tidak enak.Namun Opah dan atukku tidak pernah mengeluh menjaga aku.Mereka begitu sabar meladeniku.Setiap kali selepas solat begitu panjang doa mereka.Moga ALLAH cepat menyembuhkan penyakitku ini.
Akhirnya,berkat doa atuk,opah,emak,abah dan seluruh ahli keluargaku aku beransur sihat.Apabila atuk mengatakan aku boleh pergi ke sekolah esok,sepanjang malam aku tidak boleh tidur.Betapa seronoknya dapat kembali ke sekolah bertemu guru-guru dan kawan-kawan.Pagi-pagi lagi aku sudah bangun.Mandi,pakai baju sekolah dan bersarapan.Tidak sabar aku dengan atuk,seperti dia sengaja melengah-lengahkan masa.Aku sudah menunggu di atas tangga,tapi atuk tidak turun-turun lagi.Selepas atuk bersiap kami pun bertolak ke sekolah dengan menaiki basikal tuanya.Aku memeluk pinggang atuk.Seronoknya dapat pergi ke sekolah.
Sampai di sekolah atuk berpesan agar aku jangan aktif sangat,nanti gusi yang berlubang dan tembus di sebelah kanan dagu ku ini berdarah.Aku pun masuk ke kelas bertemu guru dan kawan-kawan.Oleh kerana lama tidak ke sekolah terasa sedikit kekok.Tapi cikgu B pandai memujuk dan membimbing aku.Semasa rehat aku makan dengan penuh selera.Aku juga berhasrat akan membeli bihun kuah kari dah kuih kundas dari kedai mamak yang terletak di sebelah sekolah ku.Besar betul selera ku ini.Maklumlah selama sakit tidak berselera makan.Inilah masa melepaskan ‘geram’.
Setelah beberapa hari bersekolah,aku terlupa akan pesanan atukku.Bila terasa badan sudah sihat aku mula bermain dengan kawan-kawan,lari ke sana dan ke sini.Tiba-tiba aku terasa sesuatu meleleh dari tepi dagu aku.Aku meraba dagu,aku lihat darah merah di tapak tangan aku.Ya ALLAH darah,gusi aku mula terasa sakit dan berdenyut-denyut.Aku mula menangis.Cikgu-cikgu datang memujuk aku,menenangkan aku dan ada yang mengelap darah yang keluar.Aku di hantar balik ke rumah oleh cikgu ku.
4
Sampai di rumah opah terkejut melihat pakaian sekolahku telah dibasahi darah.Kami menunggu atuk balik dari menoreh getah,selepas itu aku di bawa ke klinik untuk mendapat rawatan yang lebih lanjut.Mujurlah tidak ada apa-apa masalah yang serius hanya luka pada gusi itu belum kering dan apabila terkena kolar baju ia berdarah balik.Syukur Alhamdulillah, risau hati aku takut di hantar ke hospital.Tak sanggup rasanya nak menempuh sakit lagi. Akhirnya aku semakin sihat. Aku dapat belajar seperti biasa. Di sekolah belajar manakala di rumah atuk membimbing aku membuat kerja rumah yang di beri oleh cikgu,
Sewaktu aku berada di darjah empat aku di ajak oleh jiran aku menaiki keretanya ke sekolah.Katanya atuk tak perlu hantar dan ambil aku,kerana atuk sibuk bekerja.Bermulalah kehidupan aku setiap pagi pergi ke sekolah dengan menumpang jiran menaiki keretanya.Pada tengahari pula aku tergesa-gesa ke surau di kampung untuk mengaji Al Quran.Selepas zohor pula pergi ke sekolah agama di kampung berhampiran.Rindunya nak naik basikal tua bersama-sama atuk.Hanya pada hari sabtu atuk membawa aku ke perpustakaan desa di pekan PR dengan menaiki basikal tuanya.Terubat rindu di hati.
Semasa aku berumur dua belas tahun,emak,abah dan adik-adik balik ke kampung.Abah membuat sebuah rumah berhampiran rumah atuk.Terasa sempurna kembali keluarga aku.Selama ini aku tinggal seorang bersama atuk dan opah.Tapi kini aku dapat bersama kembali dengan abah,emak dan adik-adik.Pada mulanya rasa kekok juga dengan kenakalan adik-adik.Asyik membuat bising,berebut-rebutkan untuk mendapat sesuatu.Maklumlah aku sudah lama tinggal dengan atuk dan opah seorang diri.
Walau aku mendapat keputusan yang baik di dalam Peperiksaan Penilaian Tahun 5. Tapi atuk tidak membenarkan aku pergi ke sekolah berasrama.Mereka bimbang akan kesihatan aku.Semasa di tahun enam aku telah berpindah ke sekolah lain iaitu SKTDI.Sekolah ini bercampur lelaki dan perempuan.Susahnya aku nak sesuaikan diri dengan kawan-kawan lelaki.Lima tahun aku di sekolah yang semuanya perempuan.Tapi aku berusaha untuk berkawan dengan semua orang.Namun masih berhati-hati kerana mereka budak lelaki.Pergerakan mereka kasar.Takut juga aku dengan mereka ini.Menurut teori Frued (1959),iaitu peringkat Pendaman/Latency (umur 6 hingga 12 tahun)Kepuasan diperolehi melalui aktiviti mengikut padanan jantina.
5
Di SKTDI aku kena bersaing dengan ramai kawan-kawan.Kelas tahun enam ada empat kelas pada masa itu.Aku lihat kawan-kawan di sekeliling semuanya bijak-bijak belaka.Bolehkah aku bersaing dengan mereka ini,aku hanya berbisik di dalam hati.Tapi tunggulah peperiksaan nanti,aku akan belajar bersungguh-sungguh.Aku tidak mahu gagal.(Menurut teori Rogers (1951),berdasar kepada konsep kendirinya iaitu bagaimana seseorang itu berpendapat dan menanggap tentang dirinya berdasarkan kesedaran tentang kelebihan dan kekurangannya dan juga maklumat tentang dirinya yang diterima daripada orang lain).
Semasa sukan tahunan aku telah masuk beberapa acara.Tahap kesihatan aku pun sudah seratus peratus pulih.Aku memilih acara lumba jalan kaki,kena pusing satu padang.Aku hanya mendapat tempat kedua.Jadilah kata hatiku,hendak masuk lumba lari aku tidak kuat berlari.Aku juga telah mengikuti persembahan tarian bola.Betapa bangganya aku dapat membuat persembahan tarian itu.Dengan memakai gaun pendek berpetak-petak berwarna merah serta baju putih diikat reben merah di bahagian kolar baju.Maka menarilah aku bersama kawan-kawan dengan mengikut irama muzik,sambil tangan memegang sebiji bola.Pasti atuk.opah,emak ,abah dan adik-adik tersenyum gembira melihat aku di padang.
Belajar terus belajar.Peperiksaan akhir tahun bakal menjelang tiba tidak lama lagi.Aku teringin naik pentas,menerima hadiah terbaik akademik.Di SKTDI aku suka Cikgu Y mengajar,beliau mengajar Matematik.Beliau akan menerangkan sesuatu topik itu sampai kami faham.Begitu juga dengan Cikgu SL yang mengajar Bahasa Inggeris.Aku suka mata pelajaran ini.Aku akan bertanya abah sewaktu membuat kerja rumah Bahasa Inggeris.Abah aku pernah bersekolah aliran Inggeris di SMKC di bandar KK.
Aku takut dengan guru kelas aku,Cikgu SR.Beliau mengajar Bahasa Melayu.Kalau beliau marah apa sahaja ada di tangannya akan di baling ke arah kami.Ada kapur,kapurlah dibalingnya,ada pemadam,pemadamlah di balingnya.Pernah juga beliau mambaling kunci kereta.Merah dahi seorang murid lelaki kerana terkena kunci kereta.Kadang-kadang aku pula di marahi oleh kawan-kawan lelaki,mereka menuduh aku mengadu pada cikgu SR.Kononnya aku Penolong Ketua Kelas,sudah pasti akulah yang mengadu akan hal mereka kepada cikgu.
6
Apabila banyak kain yang hendak dibasuh,emak selalunya mengajak kami semua pergi ke sungai di kampung B.Kata emak sambil membasuh kain bolehlah kami berkelah dan mandi-manda.Sampai di sungai emak mulalah membasuh kain.Kami adik-beradik turut menolong emak.Kain-kain itu di jemur diatas pasir.Sementara menunggu kain-kain kering kami mandi-manda dan berkelah.Disitulah aku menunjukkan kehebatan aku pada adik-adik.Aku pandai berenang,macam-macam gaya aku tunjukkan pada adik-adikku.
Sambil aku dan adik-adik mandi emak dan abah akan mengutip pucuk paku dan sayur keladi (kemahang),yang tumbuh subur di tepi sungai itu.Sudah tentu emak akan memasak lemak gulai kemahang campur pucuk paku.Emak pandai memasak sayur ini.Kemahang ini jenis keladi yang gatal,tapi emak tahu bagaimana caranya untuk menghilangkan gatalnya.Sedapnya hingga menjilat jari.Gulai lemak kemahang makan bersama ikan masin.”hmm sedap”,menelan air liur aku mengenangnya.
Pada suatu hari, sepupu emak datang ke rumah menjemput kami sekeluarga pergi ke dusun duriannya.Ada kenduri durian katanya.Sekarang ini musim buah-buahan.Biasanya bila buah durian sudah mula gugur masing-masing akan membuat doa kesyukuran di dusun masing-masing.
Kami sekeluarga pun pergilah ke dusun sepupu emak aku itu.Dusunnya terletak di tepi sungai.Tetamu-tetamu yang dijemput sudah datang.Aku lihat buah durian sudah di kumpul di satu tempat.Opah dan emak sibuk menolong menghidangkan makanan,manakala atuk dan abah menolong mengupas durian.Doa selamat pun di baca,selepas itu durian pun di hidang bersama pulut dan santan.Sedapnya tidak terkata,masing-masing makan dengan penuh kenikmatan.Selapas makan ada yang pergi mandi di sungai dan ada yang bergotong-royong membersihkan kawasan dusun.
Bila dah berkumpul adik-beradik mulalah merancang macam-macam.Adik nombor dua aku mengajak menonton televisyen di rumah jiran.Rumah atuk tidak ada televisyen.Beliau tidak mahu membeli televisyen,nanti aku tidak belajar kerana asyik menonton televisyen.Setiap malam kami adik-beradik pergi ke rumah jiran untuk menonton televisyen,bermacam-macam rancangan yang kami tonton.Aku lihat anak-anak jiran aku tidak menonton,mereka sibuk belajar.Akhirnya atuk naik angin aku dan adik-adik di rotan,kami dilarang pergi ke rumah jiran itu.Atuk menyuruh kami mengaji Al-Quran dan belajar pada waktu malam.(Menurut teori Lewis (19360,yang mengemukakan tiga jenis pertentangan yang terdapat berhubung dengan alam hidup seseorang.Ini adalah pertentangn jenis menarik iaitu pertentangan diantara dua benda yang sama-sama dikehendaki.menonton televisyen dan belajar).
Setiap kali pulang dari sekolah aku akan menempuh beberapa buah rumah jiran.Aku suka melihat bentuk rumah seorang jiran aku ini.Rumahnya dua tingkat ,cantik dan besar.Jauh beza dengan rumah aku.Apabila lalu di tepi rumah nya aku akan mengintai dari tingkap untuk melihat keadaan di dalam rumahnya.Tiba-tiba satu suara menegur aku “baru balik cikgu” ,aku malu lantas berlari pulang ke rumah.
Begitulah,setiap hari tuan rumah itu akan memanggil aku cikgu.Aku pun hairan,kenapa pak cik itu memanggil aku cikgu,sedangkan beliau tahu nama aku.Lama-lama aku sudah biasa dengan panggilan cikgu itu.Kadang-kadang aku pula rindu dengan panggilan itu.Aku akan berjalan terhendap-hendap di tepi tingkap untuk mencari pak cik ARA ini. Selalunya dia akan duduk di atas kerusi malas di tepi tingkap itu.Kalau dia ada di situ dia akan memanggil aku cikgu dan selalu menasihati aku supaya rajin belajar dan bila sudah besar nanti jadi guru katanya.
Setelah aku menginjakkkan kaki ke sekolah menengah baru aku tahu pakcik ARA ini adalah salah seorang pejuang kemerdekaan.Aku telah sematkan cita-cita menjadi seorang guru di dalam hati ku.Mungkin kerana guru-guru di sekolah rendah menjadi idola ku mungkin juga aku seronok apabila dipanggil cikgu,macam satu penghormatan.
Peperiksaan akhir tahun pun tiba,aku dapat menjawab soalan dengan tenang. Hari anugerah kecemerlangan akan diadakan bagi meraikan kecemerlangan murid-murid.Sekolah telah menjemput ibu bapa datang.Tapi atuk dan opah pun turut serta kerana mereka hendak melihat aku naik pentas menerima hadiah terbaik akademik.
Setelah selesai hari anugerah kecemerlangan sekolah, SKTDI telah merancang suatu rombongan ke Kuala Lumpur.Hanya murid tahun enam sahaja di benarkan pergi.Aku meminta kebenaran atuk dan opah untuk pergi.Pada mulanya mereka tidak mengizinkan.Tapi apabila cikgu Y yang tinggal berhampiran rumah kami memberitahu faedah rombongan ini barulah atuk membenarkan.
Inilah pertama kali aku menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur.Selama ini aku hanya tahu tentang Kuala Lumpur ini dari menonton televisyen dan juga pembacaan aku.Kami telah di bawa melawat Muzium Negara,Zoo Negara,Menaiki ‘Cable Car’ di Bukit Nanas,Masjid Negara dan mandi di Taman Templer.Kami semua berasa seronok dan inilah kenangan yang tidak dapat dilupakan.Benarlah kata pepatah ‘Jauh Perjalanan Banyak Pengalaman’.
Abah telah mengajak emak berpindah ke kampungnya di Pekan M.Emak bersetuju mengikut abah berpindah.Abah hendak menjaga tanah peninggalan arwah ibunya.Tinggallah aku seorang di rumah atuk.Sedihnya aku berpisah dengan emak,abah dan adik-adik.Bila cuti sekolah atuk menghantar aku ke rumah abah.Mungkin atuk berasa kasihan melihat aku.Kebetulan pula musim durian.Kami sama-sama mengutip durian dan menjual durian-durian itu,manakala durian yang tidak laku dijual kami kopek untuk di buat tempoyak.
Di kampung abah ini hanya sebuah rumah sahaja yang mempunyai televisyen.Abah menyuruh kami bersiap awal kerana hendak pergi menonton televisyen selepas makan malam.Sampai di situ aku lihat ramai yang belum tiba.Televisyen telah di letakkan di satu tempat,kerusi-kerusi pula telah di susun rapi dengan menghadap ke arah televisyen.Tuan rumah telah mengutip dua puluh sen seorang.Menontonlah kami sehingga habis tayangan gambar melayu itu.
Tinggal beberapa hari lagi aku akan ke sekolah menengah.Berdebar-bebar dada aku.Hari pertama memijakkan kaki ke SMTP,aku mencari beberapa wajah yang aku kenali tetapi tidak kelihatan.Rupa-rupanya mereka telah pergi ke sekolah berasrama.Aku juga melihat wajah-wajah baru yang tidak aku kenali.Mereka datang dari pelbagai sekolah rendah dari seluruh pekan PR.Mungkin persaingan tinggi,ramai lagi yang bijak-bijak datang dari sekolah rendah lain,malah ada yang datang dari sekolah jenis kebangsaan Tamil dan Cina.Maka aku telah di tempat di dalam Tingkatan Satu B.Terkilan juga rasa hatiku,aku berazam akan belajar bersungguh-sungguh.Aku hendak masuk ke kelas A.
Aku telah ditawarkan Biasiswa Kecil Persekutuan.Alhamdulillah dapatlah mengurangkan beban atuk dan abah menanggung aku belajar.Dengan mendapat RM 20 sebulan sudah cukup banyak bagi aku.Aku akan mengumpul wang biasiswa ini dan akan berbelanja bila perlu sahaja.Lagipun aku berasa malu hendak berjumpa dengan guru biasiswa ini.Setiap kali beliau melihat aku pasti beliau akan mengejek nama aku atau menyebut nama abah aku.Cik gu M akan memanggil aku rusa lena.Beliau mengajar Matematik.Garangnya tidak terkata.Asyik memanggil aku rusa lena sedangkan emak memberi nama yang begitu indah ,iaitu Rossalina.”Ah..biarlah”,kata hati ku yang penting ilmu yang di ajar beliau berkat pada ku.
Aku belajar bersunguh-sungguh.Berkat kesungguhan aku telah di naikkkan ke Tingkatan Dua A.Aku dapat bersama kembali dengan kawan-kawan yang rapat dengan aku semasa di sekolah rendah.Bukan aku tidak suka kelas B. Kawan-kawan semuanya baik-baik belaka.Adatlah kalau di kelas A di anggap yang terbaik.Semua orang hendak yang terbaik.
Aku menjadi ahli Pandu Puteri di sekolah.Aku telah menempah uniform pandu puteri.Kami akan berlatih berkawad pada setiap petang.Setelah uniform siap aku menggayakannya di hadapan cermin.Bergayanya aku dengan baju dan gaun berwarna biru tua.Pada sukan tahunan sekolah nanti kami akan ikut perbarisan.Oleh kerana pasukan Pandu Puteri tidak cekap berkawad,maka diminta ketua pengakap melatih kami pada setiap petang.Garangnya abang R melatih kami.Menggeletar lutut aku setiap kali beliau meninggikan suara.
Unit beruniform pandu puteri telah merancang untuk mengumpul wang.Kami diarahkan memberi perkhidmatan dari rumah ke rumah sambil mengutip derma.Guru penasihat telah menyediakan surat kebenaran.Kami diarahkan menunjukkan surat itu nanti kepada tuan rumah.Kami dibenarkan membuat aktiviti itu hanya pada hari sabtu dan ahad sahaja dan mesti memakai pakaian pandu puteri yang lengkap.
Kami dibahagi kepada beberapa kumpulan dan diarah pergi ke kampung yang ditetapkan.Aku dan kawan-kawan menaiki basikal dan mula bergerak dari rumah ke rumah.Ada tuan rumah yang baik hati,mereka tidak menyuruh kami membuat kerja dan memberi derma secara ikhlas dan ada juga sewaktu kami menghulurkan surat dari sekolah mereka memarahi kami.Sehingga ada yang mencampak duit syiling ke arah kami dan menghalau kami.
Aku lebih seronok membuat kerja selepas itu menerima duit,barulah berbaloi.Bermacam-macam kerja yang kami buat menyapu halaman,melipat kain,mengangkut air dari perigi,menyiram pokok bunga dan mencabut rumput.Walaupun badan letih,tapi aku berasa sangat seronok.
11
Semasa Tingkatan Empat, unit beruniform Pandu Puteri telah merancang satu perkhemahan di kawsan perkelahan di Bukit Berapit.Surat kebenaran ibu bapa telah diedarkan.Kami pergi ke sana dengan menaiki bas.Cantik sungguh pemandangan di sini.Bunyi kicauan burung-burung sangat menarik hati.Deruan air terjun,kicauan burung-burung dan desiran angin umpama satu irama muzik semulajadi yang menjadi halwa telinga kepada kami di dalam hutan ini.
Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan.Ada yang ditugaskan mendirikan khemah,mencari kayu api,mengambil air di sungai dan memasak.Kumpulan aku di arahkan mencari kayu api.Kami tidak dibenarkan pergi terlalu jauh,dikhuatir akan tersesat.Walau bagaimanapun kami tidak berasa takut kerana di situ ramai orang yang mandi-manda dan berkelah.
Semasa perkhemahan ini kami dilatih memasang khemah dan cara masakan rimba,juga di latih cara menghidupkan api menggunakan kayu api.Kami tidak dibenarkan tidur di situ.Perkhemahan hanya sampai ke petang sahaja.Setelah petang kami berkemas untuk pulang.Walaupun badan tersa letih kerana menjalankan beberapa aktiviti tetapi rasa seronok telah menghilangkan rasa letih itu.
Peperiksaan SPM bakal menjelang tidak lama lagi,aku harus lebih fokus terhadap pelajaran.Aktiviti-aktiviti telah dikurangkan.Guru-guru sibuk dengan kelas tambahan.Aku juga mengikuti kelas tambahan percuma yang dibuat oleh anak-anak muda di Pekan PR.Mereka adalah pelajar universiti yang sedang bercuti.Pengorbanan mereka amat dihargai dan disanjungi.
Peperiksaan SPM telah pun berlalu.Setelah berusaha dan berdoa aku bertawakkal kepada Allah agar aku mendapat keputusan yang baik.Sementara menunggu keputusan SPM aku menolong opah di rumah.Kadang-kadang aku ke perpustakaan desa untuk meminjam buku.Begitulah rutin hidupku selepas peperiksaan SPM.
Pada pagi Ahad yang indah aku sedang bersantai di rumah sambil membaca novel karya Pak Hamka,’Tenggelamnya Kapal Van Der Vick’.Terdengar bunyi hon kereta.Kami telah dikunjungi oleh Mak cik aku yang tinggal di Terengganu.Beliau hendak membawa aku tinggal dengannya.Pada mulanya atuk dan opah tidak mengizinkan,tapi makcik memujuk hanya sementara sahaja nanti selepas keputusan SPM bolehlah balik ke kampung.
12
Sebenarnya aku selalu mengikut makcik setiap kali cuti persekolahan.Sebelum ini makcik tinggal di Tanjung Malim,suaminya pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris.Beliau tinggal di rumah pensyarah.Baru aku tahu di maktab perguruan inilah guru-guru dilatih untuk menjadi seorang guru.
Semasa menunggu keputusan SPM aku tinggal dengan makcik di Terengganu.Aku tinggal di rumah pensyarah di Maktab Perguruan Pasir Panjang.Pak cik aku menjadi pensyarah di sini.Selama tiga bulan aku di sini.Pada mulanya aku terasa kekok kerana loghat Terengganu kurang aku fahami.Namun begitu aku suka dengan makanan mereka nasi dagang,nasi kerabu,keropok lekor dan macam-macam lagi.Semuanya enak-enak belaka.
Setiap hari aku melihat bakal-bakal pendidik di maktab ini menjalani latihan mereka.Ada yang berlatih di padang,ada yang bermain muzik, ada di dalam kelas dan ada yang di bengkel.Adakalanya pakcik di tugaskan untuk menyelia pelajarnya menjalani latihan mengajar di sekolah-sekolah.Kadang-kadang aku di bawa oleh pakcik sekiranya dia bertugas jauh dari rumah.Aku menjadi bersemangat melihat mereka menjalani latihan.Bolehkah aku menjadi seperti mereka,bergelar seorang guru.
Cuaca sangat panas hari itu.Aku tinggal berdua sahaja dengan pembantu rumah.Pak cik dan mak cik pergi ke pasar untuk membeli barang dapur.Cuaca yang panas menyebabkan badan rasa tidak selesa.Aku pun berbaring sahaja di atas katil sambil menghadap kipas.Novel di tangan hanya aku selak-selak muka suratnya,terasa begitu bosan sekali.Aku berasa dahaga lalu aku ke dapur membuka peti sejuk untuk mengambil jus oren yang aku simpan tadi.
Tiba-tiba aku terbau asap aku cuba mencari dari mana datangnya asap itu.Aku mencari di dalam rumah tidak ada apa-apa,aku menjenguk melalui pintu dapur alangkah terkejutnya aku.Rupa-rupanya asap itu datangnya dari perdu buluh yang berada di luar pagar rumah.Tiba-tiba api semakin marak,batang-batang buluh yang terbakar semuanya jatuh ke arah bumbung rumah.Aku menjadi panik,aku memanggil-manggil pembantu rumah yang mungkin sedang berehat di dalam biliknya.Beberapa orang sudah berkumpul di sebalik pagar itu.Mereka menyuruh aku menelefon bomba.Aku pun terus mendail 994 dan memaklumkan ada kebakaran di rumah pensyarah Maktab Perguruan Pasir Panjang.
13
Pihak bomba pun tiba tidak lama kemudian,api yang marak berjaya di padamkan.Pakcik dan makcik belum sampai lagi,bagaimanalah perasaan mereka nanti.Sebelum pihak bomba sampai guru-guru pelatih ramai yang datang membantu mengeluarkan barang-barang di rumah.Sewaktu pak cik dan makcikku sampai keadaan dalam dan luar rumah seperi tongkang pecah.Mereka terkejut melihat keadaan itu.Kawan-kawan pakcik telah menerangkan apa yang berlaku.Aku pun terus bercerita bagaimana punca kebakaran itu.Oleh kerana hari sudah hampir malam,kami pun sudah letih lalu pakcik menyarankan kami tidur di bilik Sains Rumah Tangga di Maktab.Keesokkan paginya barulah kami pulang ke rumah dan membersihkan rumah dengan di bantu oleh pekerja-pekerja maktab perguruan itu.
Tidak lama lagi keputusan SPM akan diumumkan.Pakcik ku menyuruh aku menyambung tingkatan enam di SMK Sultan Sulaiman,Kuala Terengganu.Tapi aku hanya mendiamkan diri,aku tidak memberi sebarang jawapan.Memang seronok merantau jauh tetapi rasa rindu yang mendalam terhadap keluarga sukar dibendung.Sewaktu keputusan SPM diumumkan aku tidak dapat balik kerana pakcik dan makcik bekerja.Aku sudah tidak tentu rasa hati,debaran di dada tersangat kuat.Sewaktu abah menelefon ke rumah pak cik untuk memberitahu keputusan SPM, aku tidak mahu menjawab.Akhirnya pakcik yang bercakap dengan abah.Abah memberitahu yang aku mendapat pangkat satu.
Aku mendapat tawaran tingkatan enam di SMBM.Aku tidak mahu bersekolah di Terengganu.Tak sanggup berpisah terlalu lama dengan keluarga.Aku meneruskan pengajian tingkatan enam selama dua tahun di SMBM.Alhamdulillah aku mendapat biasiswa,lepaslah untuk perbelanjaan aku setiap hari.Perjalanan ke sekolah agak jauh,kalau naik bas biasa perlu tukar dua bas baru sampai ke sekolah.Untuk memudahkan aku ke sekolah aku menaiki bas sekolah dan membayar tambang pada hujung bulan.Abah berjanji akan membayar tambang bas sekolah ini.Kata abah selama ini atuk yang banyak mengurusi aku kini giliran abah pula menanggung aku.
Selepas peperiksaan STPM aku gagal mendapat tempat di universiti,aku mencuba nasib memohon maktab perguruan.Aku mesti teruskan cita-cita menjadi guru.Selepas menjalani Ujian Kelayakan berdebar hati menunggu panggilan temuduga pula.Tidak lama selepas itu aku dipanggil temuduga maktab perguruan.Akhirnya aku mendapat tawaran menjalani latihan perguruan di Maktab Perguruan Gaya,Kota Kinabalu,Sabah.Emak dan opah sudah mula menangis,aku menjadi serba salah bercambur baur perasaan aku.
14
Seluruh ahli keluarga aku menghantar aku ke Lapangan Terbang Subang.Perasaan sedih kerana berpisah dengan keluarga,rasa gembira kerana cita-citaku hampir tercapai.Emak dan opah lah yang kelihatan begitu sedih mereka risau kerana aku perempuan pergi jauh merantau pula.Bermacam-macam pesanan yang di titipkan oleh mereka berdua.Masa yang ditunggu telah tiba,maka berangkatlah aku ke Bumi Di Bawah Bayu,demi meneruskan cita-cita murni ini.
Sampai di sana aku di sambut mesra oleh pihak urusetia Maktab Perguruan.Aku di bawa ke maktab dengan menaiki bas maktab.Dalam perjalanan ke maktab aku di tunjukkan gunung tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Kinabalu.Kelihatan sayup di selaputi awan putih.Pasti suatu hari nanti akan ku tawan puncak mu Gunung Kinabalu,kebanggan rakyat Sabah ini.Aku terasa kekok juga mendengar pertuturan kakak dan abang senior ini.Terdengar banyak kali perkataan ‘BAH’ keluar dari mulut mereka.Tak mengapa lama-lama nanti aku fahamlah apa yang mereka cakap,aku bermonolog.
Selama seminggu telah di adakan minggu suaikenal.Bermacam-macam aktiviti di jalankan.Aku sebagai orang baru mengikut sahaja apa yang diarahkan.Aku mendapat asrama yang terletak di bawah bukit.Hari-hari aku menaiki dan menuruni sembilan puluh sembilan anak tangga.Pada mulanya rasa hendak tercabut kaki ini.Tapi alah bisa tegal biasa.Selama satu semester aku menaiki dan menuruni anak tangga ini.Pada semester kedua aku berpindah ke blok yang lain pula.
Dua tahun setengah lamanya aku di MPG menimba ilmu untuk menjadi seorang guru.Rindunya pada keluarga tapi aku tabahkan hati demi sebuah cita-cita.Bermacam-macam kaedah dan teori aku pelajari di sini.Aktiviti-aktiviti luar juga aku ceburi seperti perkhemahan dan mendaki Gunung Kinabalu.
Akhirnya puncak Gunung Kinabalu dapat ku tawan pada tahun 1988.Bukan sekadar mendaki gunung,aku dan kawan-kawan diarahkan membuat lakaran-lakaran gambar yang menarik di Gunung Kinabalu itu.Selepas turun nanti barulah di lukis dan di warnakan di atas kain kanvas.Hampir sebulan juga baru aku dan kawan-kawan dapat menyiapkan hasil lukisan kami.Selepas itu satu pameran telah diadakan untuk mempamerkan hasil karya kami.
15
Aku juga mengikuti perkhemahan di ‘Out ward Bound School’ yang terletak di Persisiran Pantai Kota Kinabalu.Pelbagai aktiviti di adakan seperti perkhemahan di dalam hutan ,berkayak dan berenang.Di Sabah juga mempunyai pulau-pulau dan perairan yang cantik. kelas aku telah merancang untuk pergi ke Pulau Manukan,Pulau Sapi dan Pulau Mamutik.Pemandangan di sana sangat cantik,air laut yang jernih sehingga nampak hidupan di dalamnya.
Pada akhir semester aku mengikuti latihan mengajar di SM Maktab Sabah.Aku hanya berjalan kaki kerana sekolah ini berdekatan dengan maktab.Aku mengajar Tingkatan Satu pada sebelah petang.Selama membuat latihan mangajar di sini para guru banyak membantu. Mereka tidak kedekut ilmu,begitu juga dengan pelajar-pelajarnya yang sentiasa memberi kerjasama semasa aku di pantau oleh pensyarah.Pensyarah yang datang memantau juga tidak banyak kerenah.Aku dibimbing dengan baik.
Selepas peperiksaan pada semester akhir aku mengemas barang-barang,kerana tinggal beberapa hari lagi akan meninggalkan MPG ini.Menurut pensyarah,penempatan pertama kami akan diumumkan sebelum cuti semester akhir ini.Kami yang mengambil Pengajian Sekolah Menengah akan tahu lebih awal penempatan.Risau rasa hati ku kalau di tempatkan mengajar di kawasan pulau atau pedalaman.Tapi tidak mengapalah demi anak bangsa,walau di mana ditempatkan aku terima sahaja.
Akhirnya aku menerima surat penempatan pertama aku dari pengetua maktab.Aku di tempatkan mengajar di SMK Tamparuli.Alhamdulillah,Tamparuli adalah sebuah pekan kecil yang terletak tidak jauh dari Kota Kinabalu.Sebelum cuti aku telah pergi ke Tamparuli untuk mencari rumah sewa.Buat masa itu tidak ada rumah sewa lalu aku menumpang menyimpan barang-barang di rumah warden asrama SMK Tamparuli.Selepas itu aku pulang ke Semenanjung untuk bercuti.Alhamdulillah aku telah berjaya menamatkan pengajian aku di MPG.Tidak lama lagi aku akan bergelar seorang guru.
Setelah cuti habis aku kembali ke Sabah.Aku menjalani kehidupan sebagai seorang guru di SMK Tamparuli.Selang beberapa bulan aku menerima surat untuk majlis graduasi di MPG.Di sini aku menerima Sijil Perguruan Asas,walau pun keluarga tidak ada bersama namun aku percaya mereka di kampung turut gembira dengan pencapaian aku.Aku berhasrat ingin menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi.Aku ingin melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris.Mudah-mudahan hasrat ku ini akan tercapai demi meningkatkan prestasi aku sebagai seorang guru.