BAHASA MALAYSIA TAHUN 1.
Kandungan Standard Kurikulum Bahasa Malaysia mengandungi aspek kemahiran berbahasa,seni bahasa dan tatabahasa.
Kemahiran Bahasa
Kemahiran bahasa meliputi kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca, dan kemahiran menulis. Kemahiran bahasa merupakan teras penguasaan bahasa baku.
Kemahiran Mendengar
Kemahiran mendengar merujuk keupayaan murid mendengar dengan teliti, memahami dan menghayati secara lisan perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberikan respons.
Kemahiran Bertutur
Kemahiran bertutur merujuk keupayaan murid berkomunikasi untuk menjalin hubungan dan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan serta idea yang kreatif dan kritis dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan dan bertatasusila. Penekanan juga diberikan pada penggunaan tatabahasa yang betul.
Kemahiran Membaca
Kemahiran membaca merujuk keupayaan murid membaca dengan sebutan, intonasi, jeda, dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik membaca. Di samping itu, murid juga berupaya menghayati teks yang dibaca.
Kemahiran Menulis
Kemahiran menulis merujuk keupayaan murid menulis perkataan dan melahirkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui. Penekanan perlu diberikan pada penggunaan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas. Murid juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan berunsur pengetahuan dan imaginatif. Penguasaan kemahiran bahasa ini diperoleh melalui situasi dan konteks dalam pelbagai bahan prosa, puisi dan grafik.
Aspek Seni Bahasa
Aspek seni bahasa merujuk keupayaan murid memahami, mengungkap dan menghargai bahasa yang indah melalui pembelajaran yang menyeronokkan secara didik hibur. Murid memperoleh bahasa yang indah secara didik hibur daripada teknik nyanyian, bercerita, berlakon dan berpuisi. Seni bahasa juga menampakkan keindahan bahasa dari segi pembentukan ayat yang menggunakan simile, peribahasa, bahasa kiasan dan personifikasi yang terdapat dalam puisi dan prosa kreatif. Idea yang kreatif dapat dilahirkan oleh murid melalui lisan dan penulisan.
Aspek Tatabahasa
Aspek tatabahasa merujuk keupayaan murid menggunakan tatabahasa dengan betul dan tepat dalam konteks yang diajarkan secara terancang.
0 comments:
Post a Comment