Subscribe:

Sunday, 29 April 2012

KAEDAH MEMBACA


Kaedah Membaca (Kaedah Seluruh/Pandang dan Sebut)
Kadah Seluruh / Pandang Dan Sebut

Kaedah seluruh kata sangat popular dalam mengajar bacaan dalam Bahasa Inggeris, namun guru boleh mencuba kaedah ini untuk mengajar membaca dalam bahasa Melayu. Kaedah ini juga disebut sebagai Kaedah Pandang dan Sebut.
                  
Melalui kaedah ini, pengajaran membaca adalah berdasarkan perkataan-perkataan yang biasa diguna seharian yang membentuk kebanyakan  pertuturan kita seperti saya, minum, kopi, sepak, bola emak, bapa, adik, abang, kawan, dan sebagainya.  

Guru akan memperkenalkan beberapa perkataan dahulu dan menyebutnya berulang-ulang. Kebiasaannya perkataan tersebut disertakan gambar  dan murid belajar secara pandang (visual) dan mengecam perkataan.  Kaedah ini tidak menggunakan aktiviti mengeja  sama sekali.

Sekiranya murid tidak dapat  menyebut perkataan tertentu, guru digalakkan menggunakan  fonik atau bunyi huruf, iaitu menghubungkan satu huruf dengan satu bunyi untuk membantu murid menyebut perkataan tersebut.  Misalnya bagi perkataan ”rumah”, guru boleh membantu murid dengan menyebut bunyi huruf ”r”,  iaitu [ r ] dan kalau perlu membunyikan suku kata [ ru ]

Dasar kaedah ini ialah menggunakan perkataan dari mulanya tanpa mengenalkan dan menghafalkan huruf-huruf abjad terlebih dahulu. Perkataan-perkataan yang diperkenalkan itu disertakan dengan gambar. Kaedah ini mementingkan bunyi perkataan atau rangkai kata berdasarkan pengalaman melalui gambar dan bunyi ayat atau cerita berdasarkan gambar.

Kanak-kanak dilatih melakukan dua kemahiran dalam satu masa, iaitu menyebut keseluruhan perkataan dan melakukan pengesanan terhadap rangsangan berbentuk gambar. Guru kerap kali menunjukkan seluruh perkataan seiring dengan gambar-gambar yang dilambangkannya. Contohnya, perkataan “bunga” ditulis di tepi atau di bawah gambar bunga. Kadang-kadang ini boleh digunakan sebagai kad-kad imbasan.

KAEDAH MEMBACA


Kaedah Membaca (Kaedah Bunyi/Fonik)
Kaedah Bunyi Fonik


Kaedah fonik adalah antara kaedah mengajar bacaan yang digemari oleh guru.  Kaedah ini menekankan tentang hubungan bunyi-bunyi dengan huruf-hurufnya.  Kaedah bunyi sesuai digunakan kerana susuk bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya.

Menurut kaedah fonik, hanya bunyi huruf yang diperkenalkan terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan membunyikan suku kata dan seterusnya membunyikan perkataan.

Dalam bidang fonetik,  huruf  tidak dieja tetapi  terus dibunyikan. Contohnya huruf ‘a’ disebut sebagai [ a ], dan begitulah bagi huruf-huruf dan suku kata  yang lain. Sebagai contoh, ‘ba’ +  ‘ta’ terus disebut sebagai  [ ba ] + [ ta ] dan seterusnya disebut sebagai 
 [ bata ].

[ beh ]  +  [ a ]  =  [ ba ]
[ teh  ]  +  [ a ]  =  [ ta ]
[ beh  + a = ba] +  [teh + a = ta ]  =  [ bata ]

Kanak-kanak seawal usia tiga tahun dapat mengecam dan membezakan bunyi-bunyi dan bentuk-bentuk. Oleh itu, dengan teknik yang betul anak-anak dapat mengenal bunyi dan mengaitkan bunyi tersebut dengan bentuk huruf yang ditunjukkan dengan cepat.
Anak-anak dapat menyebut bunyi ‘aa’ apabila melihat huruf ‘a’ (nama huruf ‘ei’) dan bunyi ‘ii’ apabila melihat huruf ‘e’. Sehubungan itu, apabila anak-anak melihat perkataan ‘ani’, dia akan menyebut bunyi ‘aa’ ‘nn’ ‘ii’     ( bunyi ani) bukannya ‘ei’ ‘en’ ‘ai’ (bunyi enai).

Beberapa teknik mengajar bunyi boleh dilakukan oleh ibu bapa tetapi kaedah asosiasi adalah yang terbaik. Melalui kaedah asosiasi, bunyi ‘aa’ tersebut boleh dikaitkan dengan aksi terkena api. Jadi buat aksi orang terkena api sambil menjerit ‘aaa... panasnya!’ Melalui asosiasi ini anak dapat mengingat dan menyebut bunyi dengan lebih berkesan, cepat dan berkekalan. 

Guru tidak perlu memperkenalkan semua bunyi sekaligus cukup sekadar beberapa bunyi asas terlebih dahulu. Sila dapatkan siri cepat membaca ’Bacalah Anakku’ yang telah disusun secara sistematik dalam pemilihan bunyi-bunyi huruf yang sesuai terlebih dahulu. Dengan mengikut susunan siri ini, anak dapat menguasai bunyi dengan lebih teratur dan berkesan. Oleh sebab laras bahasa Melayu terbina daripada gabungan huruf konsonan dengan huruf vokal ‘a’ ‘i’ dan ‘u’ lebih kerap, wajarlah bunyi-bunyi ‘a i u’ diperkenalkan terlebih dahulu. Lebih-lebih lagi bunyi-bunyi ini lebih senang disebut oleh kanak-kanak. Seterusnya bunyi-bunyi konsonan lain diperkenalkan satu persatu , contohnya ‘b’ ‘n’ ‘m’ ‘s’ dan ‘k’.

Seterusnya, dengan berpandukan siri cepat membaca ’Bacalah Anakku’, ajar anak-anak membaca gabungan huruf konsonan dan vokal yang diajarkan , contohnya ‘b’ dan ‘a’ ‘i’ dan ‘u’ untuk membaca ‘ba’ ‘bi’ dan ‘bu’. Melalui kaedah fonetik, anak-anak tidak akan mengeja ‘ba’ menjadi “ba” ; tidak juga menghafal suku kata ‘ba’; tetapi mereka membaca dengan menggabung-gabungkan bunyi ‘beh’ (bagi huruf ‘b’) dan ‘aa’ (bagi huruf ‘a’).

KAEDAH MEMBACA

Kaedah Membaca (Kaedah Abjad)
Kaedah Abjad


Menurut Azman Wan Chik (1993), kaedah abjad dianggap sebagai kaedah nama-nama huruf yang digunakan di dalam tulisan Melayu, iaitu huruf a hingga z. Kaedah ini merupakan kaedah yang paling biasa digunakan dalam mengajar mengeja dan membaca perkataan. Murid-murid diajar menghafal nama-nama huruf secara mengikut turutan bermula dari a hingga z. Kemudian kanak-kanak diajar mengenali huruf-huruf vokal a, e, i, o, u, huruf-huruf konsonan, dan diftong ai, au, oi.  Selepas itu, huruf-huruf ini digabungkan bagi membentuk suku kata dan seterusnya perkataan.

Contoh:   Memperkenalkan huruf a - z
                    1.                    Memperkenalkan huruf vokal a, e, i, o, u
                    2.                    Menggabungkan huruf konsonan dan vokal   ba, be, bi, bo,  bu
                    3.                   Membentuk perkataan daripada suku kata -  ba + ju          baju
                    4.                    Membina rangkai kata – baju biru
                    5.                    Membina ayat mudah – Ini baju biru Abu

Kekuatan kaedah ini adalah kerana sesuai dengan binaan perkataan bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya.  Kaedah ini juga membolehkan kanak-kanak mengeja perkataan-perkataan baharu yang belum dipelajarinya. Selain itu, kaedah ini memberi asas yang kukuh dalam kemahiran membaca.
Teknik pengajaran boleh juga dimulakan dengan guru menunjukkan kad abjad kepada murid dan guru menyebut terlebih dahulu abjad-abjad tersebut untuk memperkenalkannya kepada murid. Kemudian, sekali lagi guru menunjukkan kad-kad abjad tersebut dan meminta murid untuk mengenal pasti dan menyebut abjad-abjad yang ditunjukkan dengan bantuan guru.

Guru membetulkan setiap kesilapan sebutan murid sewaktu kad-kad abjad ditunjukkan. Proses ini diulang sehingga murid mampu mengenal pasti dan menulis abjad-abjad yang telah diajar. Seterusnya, guru melekatkan kad-kad abjad tersebut di papan hitam. Guru akan memilih murid secara rawak dan meminta murid tersebut mengambil kad pada papan tulis berdasarkan apa yang disebut oleh guru. Selepas itu, murid diminta membuat latihan bertulis dalam buku masing-masing. Guru akan menyebut abjad manakala murid perlu mendengar dengan teliti dan menulisnya dalam buku.



PENGURUSAN TINGKAH LAKU


TEKNIK-TEKNIK PENGURUSAN TINGKAH LAKU

Pelupusan dan peningkatan tingkah laku

Strategi pengurusan tingkah laku yang dipilih hendaklah sesuai dengan mengambil kira faktor-faktor murid tersebut seperti fizikal, emosi, mental, tahap keterukan, dan juga faktor pengaruh persekitaran, dan jangka masa pelaksanaan yang tertentu.


Strategi pengurusan tingkah laku melibatkan teknik-teknik berikut;

ganjaran (reinforcers)
Terdapat 3 jenis ganjaran iaitu;
i. ganjaran primer – makanan, minuman dll
ii. ganjaran social- senyuman, pujian dll
iii. ganjaran sekunder – token, kupon, mainan, bintang dll

dendaan (punishment)
- tahanan kelas (lambat balik) , dendaan fizikal, ambil balik token/hak

pengasingan (isolation)
- mengasingkan peneguh daripada tingkah laku yang dipilih
- asingkan murid daripada aktiviti yang disukainya

pembentukan (shaping)
- pemberian pengukuhan kepada perlakuan-perlakuan yang dilakukan oleh murid yang menjurus kepada pementukan perlakuan yang dikehendaki.

prompting
- digunakan untuk mendapatkan rangsangan tertentu yang dipilih sebagai tanda atau klu kepada murid untuk melaksanakan tingkah laku yang dikehendaki secara lisan, gerak badan (gesture) dan fizikal.

fading (pelunturan)
- mengurangkan tingkah laku atau ganjaran secara perlahan-lahan

modeling
- menggunakan watak-watak (murid,guru ) yang disukai dan dihormati untuk diteladani oleh murid

kejelakan/Kebosanan (satiation)
- membiarkan murid melakukan tingkah laku itu hingga dia jemu melakukannya dan berhenti sendiri
- “Over Correction” adalah satu teknik kejelakan.

desensitization
- tindakan-tindakan secara beransur-ansur untuk menghilangkan rasa gugup atau takut yang berlebihan takut bercakap di depan kelas, fobia dll

bimbingan dan kaunseling
- pendekatan-pendekatan kaunseling untuk membimbjng murid menghadapi atau menangani masalah tingkah laku

terapi muzik/seni
- menggunakan muzik atau seni untuk mententeramkan emosi, anxiety, dan melepaskan perasaan yang tertekan

penamatan/pelupusan (extinction)
- memberhentikan atau menyekat murid murid daripada terus melakukan tingkah laku negatif secara beransur-ansur dengan menggantikan dengan tingkah laku baru yang positif

pengasingan (time-out, suspension)
- menempatkan murid berasingan daripada kumpulan (penjuru bilik, bilik khas)
- mengeluarkan murid daripada aktiviti kumpulan

kontrak perjanjian (contigency contracting)
- persetujuan di antara dua pihak atau lebih (guru dan murid) secara lisan atau bertulis. Murid dipertanggungjawabkan terhadap perkara atau aktiviti yang dipilih. Kontrak akan berjaya jika murid faham akan tingkah laku yang hendak diubah dan murid faham akan kesan yang
akan berlaku.


LANGKAH-LANGKAH PEMBENTUKAN PROGRAM PENGURUSAN TINGKAH LAKU

Program pengurusan tingkah laku merupakan dokumen bertulis yang telah dirancang, dibina, dilaksana , dan direkod bagi meningkatkan atau mengurangkan satu-satu tingkah laku bermasalah atau luar biasa.

Langkah-langkah yang disarankan dalam program pengurusan tingkah laku ini boleh diubah suai bergantung kepada kesesuaian individu atau kumpulan murid tersebut.

Langkah-langkah pembentukan program pengurusan tingkah laku;

- memilih tingkah laku yang perlu diubah berdasarkan keutamaan
- membuat pemerhatian dan merekodkan tingkah laku tersebut
- menentukan tingkah laku sasaran yang hendak dicapai (target behaviour)
- mengenal pasti masa pelaksanaan bagi tiap peringkat
- memilih strategi dan kaedah yang perlu diguna pakai
- menentukan ganjaran dan dendaan (reinforcer and punishment)
menjalankan program
- melakukan penilaian secara berterusan atau secara berkala (periodical evaluation)
- tindakan/intervensi susulan (berhenti apabila tingkah laku sasaran dicapai
- memastikan supaya tingkah laku negatif tidak berulang dan tingkah laku yang telah dipulih (positif) dikekalkan atau ditingkatkan

Sebelum sesuatu tingkah laku dapat diurus, beberapa perkara perlu diambil perhatian terlebih dahulu,iaitu;

- Apakah jenis tingkah laku yang dapat diperhati?
- Tingkah laku yang mana satu harus diberi keutamaan?
- Bila tingkah laku itu berlaku?
- Kekerapan tingkah itu berlaku.
- Apakah punca/sebab tingkah laku itu berlaku?
- Bagaimana hendak mengurus tingkah laklu tersebut?

PENGURUSAN TINGKAH LAKU

JENIS-JENIS TINGKAH LAKU BERMASALAH

Secara umumnya, tingkah laku bermasalah dapat dikategorikan kepada tingkah laku bermasalah positif dan tingkah laku bermasalah negatif.

A. Tingkah laku bermasalah positif

Tingkah laku bermasalah positif bermaksud tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh kanak-kanak tetapi tingkah laku itu akan menjadi bermasalah sekiranya dilakukan secara berlebihan atau tanpa kawalan dan boleh menimbulkan masalah kepadanya. Misalnya,
 sifat ingin tahu yang berlebihan kepada seorang kanak-kanak boleh menyebabkannya bertindak keterlaluan sehingga menyusahkan dirinya dan orang lain. 


B. Tingkah laku bermasalah negatif

Tingkah laku bermasalah negatif adalah jelas iaitu tingkah laku yang menimbulkan masalah kepada dirinya dan juga orang lain. Beberapa contoh tingkah laku bermasalah negatif adalah seperti berikut:

i.
 Tingkah laku Disruptif/mengganggu

Perlakuan sentiasa mengganggu perjalanan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Tingkah laku ini juga berlaku di luar kelas dan juga di rumah.

ii.
 Pergantungan berlebihan

Kanak-kanak yang sangat bergantung kepada orang lain, tidak dapat berdikari, dan tidak berupaya membuat keputusan sendiri.Contohnya tidak mahu hadir ke sekolah tanpa ditemani ibu. Kadangkala ada ibu yang terpaksa duduk di luar kelas.

iii.
 Agresif

Tingkah laku agesif adalah seperti suka memulakan pergaduhan, suka bergaduh, suka memaki hamun, dan sebagainya.

iv.
 Distruktif/merosakkan

Perlakuan yang suka merosakkan benda seperti kerusi meja, barangan kawan sekelas, mengoyak poster atau notis di papan kenyataan dan sebagainya.

v.
 Kebimbangan

Perasaan kurang senang atau takut akibat anggapan bahawa sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Keadaan ini akibat daripada pengalaman emosi yang tidak menggembirakan yang dialami oleh seseorang .

vi.
 Pengasingan diri

Suka menjauhkan diri daripada orang lain yang kurang disenangi. Tingkah laku ini juga dijadikan sebagai mekanisme helah bela diri untuk mengelakkan diri daripada berkomunikasi dengan orang lain.

vii.
 Ponteng sekolah

Perlakuan yang sengaja dibuat iaitu tidak hadir ke sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa dengan membuang masa di tempat lain seperti pusat membeli belah atau taman permainan.

viii.
 Enggan ke sekolah 

Enggan ke sekolah akibat daripada perasaan fobia terhadap sekolah. Kanak-kanak ini berasa bimbang untuk berpisah dengan keluarga dan bimbang meninggalkan kawasan rumahnya.

ix.
 Mencuri

Mengambil hak orang lain tanpa kebenaran tuannya. Tabiat mencuri barang rakan sekelas akan menyebabkan pertengkaran, pergaduhan, dan dipulaukan oleh rakan sekelas.


Punca salah laku

Tingkah laku yang ditunjukkan oleh kanak-kanak berpunca daripada faktor-faktor tertentu. Guru perlu memahami faktor-faktor yang menjadi punca masalah tingkah laku muridnya supaya menjadi panduan dalam merangka program pengurusan tingkah laku bagi murid tersebut. Roger Stancliffe (tidak bertarikh) telah menyenaraikan 9 faktor yang dikaitkan dengan masalah tingkah laku kanak-kanak.

i. persekitaran
ii. tekanan psikologikal
iii. ketakutan dan fobia
iv. peneguhan yang kurang sesuai
v. kemahiran komunikasi dan sosial yang terhad
vi. kesukaran tugasan
vii. aktiviti dan tahap rangsangan
viii. kesihatan dan perubatan
ix. jangkaan tingkah laku

Faktor persekitaran
Sesetengah kanak-kanak sangat sensitif terhadap persekitaran seperti bunyi bising, sejuk, panas, dan lain-lain. Perubahan tingkah laku akan ditunjukkan terutamanya bagi kanak-kanak yang mengalami kecacatan teruk, autisme, dan lain-lain.

Tekanan psikologi
Individu yang mengalami masalah tingkah laku obsesif dan tingkah laku yang sudah menjadi tabiatnya akan berasa senang dengan tingkah laku tersebut. Mereka akan berasa tertekan apabila kebiasaan tingkah laku itu diganggu atau dihalang.

Ketakutan dan fobia
Fobia adalah ketakutan yang keterlaluan terhadap sesuatu. Fobia termasuk juga takut terhadap sesuatu yang berbahaya seperti ular atau ketinggian yang melebihi tahap bahaya sebenar perkara tersebut. Ketakutan ini boleh menyebabkan bahaya kepada individu tersebut seperti berlari melintas jalan raya kerana takutkan anjing.

Peneguhan yang kurang sesuai
Tingkah laku bermasalah ada kalanya dikukuhkan secara tidak sengaja. Tindak balas semula jadi kita secara serta merta terhadap tingkah laku tertentu ada kalanya menjadikan tingkah laku itu lebih teruk. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang enggan makan ubat akan dipujuk serta dijanjikan dengan beberapa ganjaran oleh ibu dan bapanya. Oleh itu, kanak-kanak itu akan sengaja enggan makan ubat kerana mahukan perhatian daripada ibu bapanya.

Kemahiran komunikasi dan sosial yang terhad
Terdapat bukti yang jelas menunjukkan bahawa kadar tingkah laku bermasalah yang tinggi di kalangan kanak-kanak yang kurang berkomunikasi berbanding kanak-kanak yang boleh berkomunikasi dengan baik.

Kesukaran tugasan
Kesukaran tugasan boleh menyebabkan kanak-kanak melakukan kesilapan dan mengalami kegagalan. Keadaan kekecewaan ini berkait rapat dengan masalah tingkah laku yang mereka tunjukkan.

Aktiviti dan tahap rangsangan
Kekurangan aktiviti yang membina akan menyebabkan berlakunya masalah tingkah laku. Sebagai contoh, guru bukan hanya setakat memberi mainan atau buku kepada muridnya tetapi perlu mengajar murid tersebut kemahiran yang perlu untuk melakukan aktiviti tersebut.

Kesihatan dan perubatan
Kesakitan atau keadaan tertekan yang berkaitan dengan keadaan kesihatan tertentu boleh menyebabkan rasa kurang selesa dan boleh menyebabkannya berkelakuan kurang sesuai.

Jangkaan tingkah laku
Ada kalanya ibu bapa atau guru menjadi letih dengan tingkah laku kanak-kanak-kanak dan membiarkannya berkelakuan sedemikian dengan anggapan bahawa tingkah laku itu akan hilang dengan sendirinya. Jangkaan terhadap tingkah laku kanak-kanak tersebut adalah rendah daripada yang sepatutnya. Sebenarnya mereka ini terperangkap dengan anggapan bahawa itulah sifat kanak-kanak tersebut dan tidak boleh diubah lagi (the way he/she is).



KEMAHIRAN BELAJAR


BELAJAR CARA BELAJAR (BCB)
Kemahiran belajar merupakan kemahiran seumur hidup. Kemahiran ini perlu dikembangkan kepada semua murid supaya mereka peka dengan teknik-teknik pembelajaran yang berkesan. Dengan kemahiran ini juga, murid dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan dalam proses belajar mereka dan seterusnya mereka boleh mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memperbaiki sesuatu kelemahan. Justeru, pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah perlu mengambil kira kebolehan dan minat murid yang pelbagai dan guru harus memberikan penekanan pada teknik pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan murid mereka.
Belajar cara belajar di sini akan cuba memberikan berberaapa cadangan dan idea untuk menjalankan teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah yang menyerapkan belajar cara belajar. Untuk mencapai matlamat ini, beberap objektif seperti:
v Menjelaskan konsep belajar cara belajar kepada guru.
v Memahami faktor yang mempengaruhi pembelajaran murid
v Membimbing guru mengenal pasti startegi pembelajaran yang sesuai untuk murid.
v Membantu guru mengaplikasikan kemahiran belajar cara belajar dalam pengajaran dan pembelajaran.
v Menyediakan contoh rancangan pengajaran-pembelajaran untuk guru.


RASIONAL BELAJAR CARA BELAJAR
Belajar cara belajar yang diperkenalkan dalam pendidikan adalah berdasarkan kepada beberapa sebab:
v Proses pengajaran dan pembelajaran oleh guru di dalam kelas adalah terhad.
v Pengetahuan dan maklumat yang diterima oleh murid di dalam kelas juga terhad.
v Sika tanggungjawab murid perlu ada terhadap pembelajaran mereka.
v Murid perlu belajar untuk memperolihi maklumat tambahan di luar waktu persekolahan.
v Murid perlu meningkatkan keupayaan mereka untuk mempelajari sesuatu.
Kemahiran belajar cara belajar sejajar dalam matlamat pendidikan
v untuk menyemai kemahiran belajar seumur hidup di kalangan murid..
OBJEKTIF BELAJAR CARA BELAJAR
Objektif Belajar Cara Belajar adalah seperti berikut:
v Menyediakan murid yang berupaaya belajar sendiri tanpa guru.
v Membolehkan murid menggunakan pengetahuan sedia ada, rakan dan bahan lain sebagai sumber pembelajaran.
v Membolehkan murid membuat refleksi dan menilai tahap pembelajaran sendiri.
v Membolehkan murid mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran ke situasi lain, sama ada dalam mata pelajaran lain dan pergaulan.


APAKAH BELAJAR CARA BELAJAR?
Pengertian Belajar Cara Belajar
Belajar cara belajar ialah proses untuk memperolehi teknik belajar sama ada bersama guru ( formal ) atau tanpa guru ( non-formal ).
KEMAHIRAN BELAJAR
Kemahiran belajar perlu dikuasai oleh setiap murid untuk menambah ilmu pengetahuan serta meraih kecemerlangan dalam peperiksaan dan kehidupan. Kemahiran belajar melibatkan beberapa kemahiran yang perlu dikuasai oleh setiap murid. Kemahiran itu termasukla:
v Kemahiran mendengar dengan berkesan.
v Kemahiran membaca.
v Kemahiran mencatat nota.
v Kemahiran menulis.
v Kemahiran mengingat.
a. Kemahiran Mendengar dengan Berkesan.
Kemahiran mendengar ialah sebahagian daripada proses komunikasi antara manusia. Mendengar ialah aktiviti aktif dari segi mental kerana kemahiran ini melibatkan kefahaman dan pemprosesan maklumat yang didengar. Kemahiran mendengar melibatkan beberapa proses.
1. Apa yang didengar.
1.1 Terdapat pelbagai bahan yang kita dengar seperti teks puisi, muzik, ucapan, arahan, lakonan, lagu, berita, pengumuman, syarahan dan pelbagai lagi.
2. Mengapa perlu mendengar.
2.1 Mendengar untuk mendapatkan maklumat, fakta,data dan pengetahuan dari apa yang didengar.
2.2 Perlunya mendengar juga adalah untuk menghayati keindahan bahasa dan muzik.
2.3 Untuk mengetahui perkembangan semasa.
2.4 Untuk mendengar penjelasan guru tentang sesuatu.
3. Siapa yang didengar.
3.1Sesiapa sahaja yang dapat memberikan maklumat, memberikan penjelasan, membuat pertanyaan dan mereka yang memberikan pendapat.
4. Bagaimana mendengar dengan berkesan.
4.1 Seseorang yang mendengar dengan teliti dan penuh perhatian terhadap apa yang disampaikan.
4.2 pendengaran dengan berkesan adalah dalam suasana yang tenang dan selesa.
5. Bagaimana meningkatkan kemahiran mendengar.
5.1 kemahiran mendengar dapat ditingkatkan dengan cara memotivasikan diri untuk memberikan sepenuhnya tumpuan dan perhatian kepada pembelajaran hari itu.
5.2 mendengar dan memandang kearah guru atau penyampai.
5.3 Menumpukan perhatian kepada apa yang diperkatakan, ditunjukkan dan ditulis.
b. Kemahiran Membaca.
Kemahiran membaca ialah penting untuk mendapatkan maklumat, pengetahuan, dan fakta mengenai sesuatu perkara. Membaca ialah proses kompleks yang melibatkan proses komunikasi antara pembaca dengan penulis melalui tulisan yang dibaca. Biasanya terdapat empat gaya bacaan, iaitu:
1. Skimming / Luncuran.
Skiming ialah kemahiran membaca untuk mendapatkan maklumat ringkas dan pantas mengenai sesuatu bahan atau maklumat. Ia bertujuan untuk mendapatkan maklumat ringkas tetapi menyeluruh mengenai sesuatu bahan atau dokumen. Dalam proses bacaan ini juga ialah bertujuan untuk membuat pandangan umum mengenai dokumen dengan segera.
Bacaan skimming boleh dilakukan dengan cara membaca tajuk, pendahuluan dan rumusan sesuatu bahan atau dokumen, begitu juga dengan membaca menggunakan pergerakan mata yang cepat dan memberikan tumpuan sepenuhnya pada bahan yang dibaca.
2. Scanning / Imbasan.
Imbasan ialah kemahiran membaca untuk mendapatkan maklumat yang lebih mendalam daripada skimming. Antara tujuannya ialah untuk mendapatkan maklumat tertentu sebagai jawaban kepada sesuatu persoalan.
Membaca secara imbasan adala membaca pendahuluan dan rumusan teks secara mendalam, membaca kandungan bab dengan pantas sambil mencatatkan kata kunci dan konsep yang dinyatakan.
3. Bacaan intensif
Bacaan intensif ialah kemahiran membaca untuk mendapatkan maklumat terperinci. Bacaan intensif memerlukan penumpuaan yang teliti terhadap bahan atau dokumen yang dibaca. Ketekunan dalam pembacaan juga mesti tinggi dan selalunya bacaan secara intensif ini mengambil masa yang lebih panjang untuk mendapatkan makna apa yang dibaca.
Tujuan bacaan secara intensif adalau sematapmata untuk mendapatkan semua maklumat dengan mendalam dan catatan perlu dibuat untuk mengumpulkan maklumat tersebut.
4. Bacaan Laju.
Bacaan laju ialah teknik bacaan yang memerlukan kebolehan seseorang membaca dengan laju dan mampu memahami dengan serentak apa yang dibaca. Membaca laju menumpukan perhatian pada pemikiran atau idea utama. Ini boleh dibuat dengan membaca cepat seluruh buku, membaca cepat senarai bab, membaca cepat semua bahagian dan membaca cepat semua perenggan.
Tujuan bacaan laju adalah untuk menggunakan masa terhad dengan lebih produktif, dapat menjimatkan masa, dan untuk memperolihi maklumat tambahan pada kadar yang cepat.
c. Kemahiran Mencatat Nota.
Mencatat nota ialah aktiviti merekod fakta, maklumat dan isi penting daripada bahan yang dibaca, dilihat atau didengar. Mencatat nota berlaku dalam semua situasi belajar seperti kuliah, ceramah, penerangan, temuduga, membaca buku atau bahan lain.
Perlunya mencatat nota adalah untuk mendapatkan isi-isi penting sebagai bahan rujukan. Daripada isi-isi penting ini dapatlah ia dikembangkan kepada fakta asas. Catatan nota yang telah dikumpul akan dapat membantu sebagai bahan rujukan tambahan pada masa hadapan.
d. Kemahiran Menulis
Menulis Laporan
Pada umumnya untuk menyediakan laporan adalahseperti yang berikut:
v Memilih topic sekiranya tidak diberikan.
v Mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber.
v Meneliti dan memilih maklumat yang relevan dengan topic.
v Membuat nota .
v Menyerdiakan kerangka laporan.
v Menulis draf pertama dan mengenal pasti sumber yang dipetik.
v Melengkapkan laporan dengan jadual, graf, dan bahan grafik yang lain yang sesuai.
v Menyemak draf.
v Membuat pemurnian dan menulis draf kedua.
v Menerbitkan laporan.
Kemahiran Menulis Cepat
Menulis cepat ditafsirkan sebagai kemahiran menulis dengan kepantasan yang tinggi dan tulisannya boleh dibaca oleh orang lain. Oleh itu , memerlukan kreteria seperti berikut:
v Kelajuan menulis.
v Tulisan yang boleh dibaca.
v Kandungannya difahami.
Seseorang yang boleh menulis dengan cepat dapat menulis lebih banyak maklumat. Dalam peperiksaan dengan jangka masa yang terhad tetapi memerlukan banyak isi jawapan yang boleh ditulis. Kebolehan menulis cepat juga dapat menjimatkan masa.
Syarat pra-menulis cepat bagi ia akan dapat membantu untuk menyampaikan banyak maklumat atau fakta dalam ingatan semasa menjawab soalan peperiksaan. Murid juga boleh mengingat kembali fakta atau maklumat dengan cepat. Penyediaan alat tulis yang baik juga penting dalam penulisan cepat seperti pensel yang tajam atau pen yang sempurna.
e. Kemahiran Mengingat
mengigat ialah proses pembelajaran yang berkaitan dengan kefahaman dan penggunaan deria dengar dan deria lihat yang baik. Mengingat juga ialah satu kemahiran untuk mengingat kembali dengan menyebut atau menulis fakta dan kejadian yang telah berlaku selepas beberapa lama.
Jenis ingatan adalah ingatan jangka pendek dimana maklumat yang diterima akan hanya diingat dan tersimpan dalam jangka masa yang singkat sahaja manakala ingatan jangka panjang adalah maklumat yang disimpan dan kekal dalam ingatan.
Proses ingatan dapat dibahagikan kepada tiga langkah iaitu:
v Mendaftar maklumat hingga boleh dikekalkan dalam ingatan.
v Menyimpan maklumat
v Mengingat kembali maklumat.
KEMAHIRAN MAKLUMAT
Keupayaan mengumpul maklumat secara berkesan ialah satu aspek kemahiran belajar cara belajar yang pentinh. Mengenal pasti sumber pembelajaran , cara mendapatkan maklumat dari temu ramah, membuat rujukan , mengenal maklumat dalam buku, dan cara merujuk kamus, direktori dan ensiklopedia ialah sebahagian daripada kemahiran maklumat yang perlu dikuasi oleh murid.
Maklumat ialah pengetahuan, data, butiran, fakta, keterangan, maklumat atau cerita tentang sesuatu perkara atau seseorang. Manakala kemahiran maklumat ialah keupayaan seseorang mengenalpasti keperluan maklumat mencari dan mengumpulkan, mengurus dan mengolah maklumat dan membekalkan maklumat bagi memenuhi keperluan tertentu.
STRATEGI METAKOGNISISI
Metakognitif ialah kesedaran tentang apa yang diketahui dan apa yang tidak diketahui. Strategi Metakognitif merujuk kepada cara untuk meningkatkan kesedaran mengenai proses berfikir dan pembelajaran yang berlaku. Apabila kesedaran ini wujud, seseorang dapat mengawal fikirannya dengan merancang, memantau dan menilai apa yang dipelajari.
Murid boleh menggunakan strategi metakognitif dan mengawal pembelajarannya melalui proses seperti berikut:
v Merancang apa yang dipelajari.
v Memantau kemajuan pembelajaran diri.
v Menilai apa yang dipelajari.
Proses Metakognitif
a. Proses Merancang
Proses ini memerlukan murid meramalkan apakah yang akan dipelajari, bagaimana perkara itu dikuasai dan kesan daripada perkara yang dipelajari. Murid perlu menyediakan diri secara fizikal, mental dan psikologi. Murid juga perlu membuat perancangan dari semasa ke semasa cara terbaik untuk mendapatkan sesuatu perkara.
b. Proses Memantauan
Dalam proses pembelajaran murid perlu bertanya kepada diri sendiri dari semasa ke semasa perkara perkara seperti:
- Apakah soalan yang perlu saya kemukakan?
- Adakah ini membawa makna kepada saya?
- Bagaimanakah perkara ini boleh dijelaskan?
- Mengapakah saya tidak memahami cerita ini?
c. Proses Menilai
Melalui proses ini, murid membuat refleksi untuk mengetahui:
- Bagaimana sesuatu kemahiran, nilai dan pengetahuan dikuasai oleh saya?
- Mengapakah saya mudah / sukar menguasainya?
- Apakah tindakan / pengubahsuaian yang harus saya ambil?
Dengan pengetahuan seperti ini, murid dapat memeikirkan strategi yang lebih sesuai untuk menguasai pelajaran baru.
RUMUSAN
Belajar cara belajar yang telah diperkenalkan ini adalah kerana disebabkan oleh keadaan yang memaksa .Sepertimana yang diketahui umum masa dalam bilik darjah adalah amat terhad bagi setiap murid untuk mendapatkan pengetahuan. Maklumat yang diterima dalam masa yang terhad juga adalah sangat kurang.
Belajar cara belajar juga mendidik murid untuk merasa lebih bertanggungjawab dalam pelajaran mereka. Mereka akan belajar untuk mendapatkan maklumat di luar waktu persekolahan. Selain daripada itu, belajar cara belajar juga dapat menggalakkan murid supaya meningkatkan keupayaan mereka dalam mempelajari sesuatu. Kemahiran belajar cara belajar sejajr dengan matlamat pendidikan untuk menyemai kemahiran belajar seumur hidup di kalangan murid.
Belajar cara belajar telah mengariskan tiga komponen utama dalam perlaksanaan kemahiran belajar iaitu:
v Kemahiran belajar
v Kemahiran maklumat
v Strategi metakognitif
Ia merangkumi dari segi cara belajar murid, mencatat maklumat dan strategi metakognitif yang mana murid dapat meningkatkan kesedaran mengenai proses berfikir dan pembelajaran yang berlaku.